Kekal momentum Ramadan rai raya

Diambil dari BH.. jom baca..

 

Setiap insan akan berasa sedih atas setiap pertemuan yang berakhir dengan perpisahan. Apatah lagi Ramadan yang hanya datang setahun sekali. Kesedihan ini buat mereka yang mempunyai hati dan jiwa yang bersih merasai satu kehilangan besar apabila tibanya penghujung Ramadan.

Di samping berdoa, persoalan yang terbayang di fikiran ialah apakah Ramadan kali ini mencapai matlamatnya iaitu ketakwaan sebenar kepada Allah SWT? Apakah kita akan diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan akan datang? Hakikatnya, kesan yang akan dibawa selepas Ramadan adalah jawapan kepada semua persoalan itu.

Daripada Jabir, Baginda SAW bersabda: Apabila tibanya malam terakhir Ramadan, langit, bumi dan malaikat bersedih atas perkara yang dianggap satu musibah besar bagi umat Muhammad SAW. Sahabat bertanya: Apakah musibah itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda SAW: Perginya Ramadan meninggalkan kita. Bulan yang dimakbulkan doa, amalan diangkat dan diterima, pahala kebajikan digandakan dan azab ditangguhkan. Apakah ada musibah yang lebih besar daripada berpisah dengan Ramadan? Apabila langit dan bumi serta malaikat bersedih untuk kita, sudah semestinya kita sebagai manusia akan lebih bersedih atas perpisahan ini. (Hayatul Qulub)


Kita akan menempuh hari raya meraikan kemenangan dalam menghadapi ujian Ramadan. Bagi umat Islam, Aidilfitri adalah kemenangan menghadapi ujian puasa selama sebulan. Hari Raya dikaitkan dengan fitrah kerana manusia kembali kepada fitrah asal yang dihalalkan dan terlarang ketika berpuasa.

Hadis Ibnu Masud menyebut, Baginda SAW bersabda: Apabila seseorang berpuasa dan keluar berhari raya, maka Allah akan berkata kepada malaikat, Sesungguhnya semua pekerja akan menuntut ganjarannya dan hambaku yang berpuasa keluar pada hari ini dengan ganjaran besar. Oleh itu, saksikanlah segala amalan kejahatan mereka ditukar kepada kebajikan sepenuhnya dan aku telah mengampunkan mereka.

Menunjukkan jika seseorang mendapat kelebihan sedemikian, maka ibadat puasa yang dilakukan mencapai matlamat takwa dan mendapat keampunan.

Dua kegembiraan
Baginda SAW bersabda: Dua kegembiraan bagi seorang yang berpuasa iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya dengan amalan ibadah puasa itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad bahawa dengan kurniaan dan rahmat Allah SWT, mereka bergembira dan itulah yang terbaik hasil daripada apa yang mereka usahakan. (Surah Yunus, ayat 58)

Anas bin Malik berkata: Bagi seorang mukmin, terdapat lima hari raya dalam kehidupan mereka. Pertamanya, hari di mana tiada sebarang maksiat atau tiada perkara dosa dilakukan juga dianggap hari raya. Keduanya, hari yang ditentukan roh akan keluar daripada jasad dengan keimanan dan ketakwaan bertemu Allah SWT. Ketiga, hari dapat merentasi titian sirat dan terselamat daripada goncangan kiamat. Keempat, ketika kita dimasukkan ke syurga dengan aman. Kelimanya ialah ketika dapat melihat Allah SWT.

Sentiasa bertasbih dan bertakbir

Hari Raya pada kaum Muslimin membawa dua pengertian besar iaitu penghayatan rabbani (ketuhanan) dan penghayatan insani (kemanusiaan). Penghayatan rabbani membawa maksud manusia tidak sekali-kali melupakan Allah SWT bahkan lidah mereka sentiasa bertasbih dan bertakbir memuji kebesaran Allah SWT.

Penghayatan insani pula bermaksud keinginan naluri manusia untuk bersuka ria, gelak tawa serta penampilan baru dengan pakaian dan wajah berseri. Kesempatan bertemu sahabat handai serta keluarga yang disayangi bagi menyambung jabatan silaturahim.

Namun, kegembiraan menyambut Hari Raya mesti dikawal dengan iman dan takwa Ramadan. Ketika Baginda SAW menghadiri suatu perayaan, beliau mengizinkan satu kumpulan bersuka ria di rumah baginda yang berhampiran dengan Masjid Nabawi.

Baginda SAW juga mengizinkan Saidatina Aisyah bersuka ria bersama sahabatnya bagi meraikan naluri kemanusiaan di samping memelihara tata susila agama Islam.

Perkara kedua perlu diperhatikan ialah kawalan terhadap hawa nafsu yang melonjak ketika kita berpuasa lagi. Jangan kita berasa tamatnya Ramadan bermakna tamatlah segala ketaatan kepada Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: Apabila tibanya hari raya, iblis yang dilaknat memanggil sekalian saudara dan sahabat handainya seraya berkata: Wahai sahabat sekalian, pada hari ini, Allah SWT mengampunkan dosa sekalian hambanya. Oleh itu, kamu hendaklah melalaikan mereka dengan kelazatan dan nafsu syahwat sehinggalah mereka kembali kepada kemurkaan Allah SWT.

Oleh itu, untuk meneruskan kesinambungan momentum Ramadan, kita hendaklah bersedekah, solat, berzakat, bertasbih dan bertahlil. Justeru, amalan rumah terbuka hendaklah diteruskan supaya mereka yang tidak berkemampuan meraikan hari raya dengan senang hati.

Marilah kita menghayati Hari Raya dengan tiga saranan Baginda SAW dalam sabdanya: Mereka yang mengasihi akan dikasihi Allah SWT. Kasihanilah makhluk di bumi nescaya kamu akan dikasihi Allah. Sesiapa yang tiada sifat belas kasihan tidak akan disayangi.

Kita hendaklah meraikan empat perkara yang dianjurkan Baginda SAW bagi menjadikan Hari Raya pada tahun ini lebih bermakna iaitu perbanyakkan ucapan salam, memberi makan kepada tetamu, menghubungkan persaudaraan dan solat malam.

 

mamapp

Masa mengajar kita tentang segalanya.. Masa mematangkan kita seiring dengan usia..

1 Comments

Words of wisdom

Previous Post Next Post